Isnin, 23 Mei 2011

Berhati-hati bila menyampah

“Ishh! Menyampah tengok muka dia ”
“Menyampah betul buat kerja ni....”

Perasaan menyampah sering melanda kita dan perasaan ini memang tidak selesa. Sukar juga untuk menceritakan rasa ini. Macam nampak sampah, malah lebih teruk dari itu. Meluat, benci, marah, rasa macam nak muntah....berbagai rasa tak selesa yang membentuk rasa menyampah. Nampak muka orang yang kita menyampah, perasaan jadi terganggu. Melakukan kerja yang kita tidak suka, perasaan terganggu. Ia boleh membunuh mood. Bila kita rasa menyampah, yang lebih susah adalah diri sendiri sedangkan orang yang kita menyampah terus hidup seperti biasa. Kerja yang kita tidak suka juga tidak akan selesai. Lebih banyak rugi daripada untungnya. Jadi, jika dilanda rasa menyampah, tindakan bijak ialah merawat rasa menyampah itu, jangan sampai ia membunuh keceriaan. Membiarkannya memusnahkan keceriaan umpama membawa membawa atau mengusung orang atau beban kerja tersebut dalam hati dan fikiran. Ia akan mengikut ikut kita ke mana-mana.

Sampah di minda dan hati
Untuk memudahkan kita menanggapi masalah ini, saya suka mengaitkan rasa menyampah ini dengan sampah. Sampah ialah benda yang telah kehilangan fungsi asal. Apa yang kita panggil ‘sampah’ hari ini, suatu masa dahulu kita panggil dengan berbagai nama dan kita menyimpannya atas berbagai kegunaan khusus. Kertas pembalut makanan pernah berjasa melindungi makanan yang kita makan dari kekotoran supaya makanan tersebut tidak membahayakan kesihatan kita. Setelah habis fungsinya, ia pun bernama sampah. Suatu masa dahulu apa yang kita panggil ‘bunga’ menjadi perhiasan yang menyejukkan mata memandang tetapi akhirnya apabila telah layu ia dibuang dan dipanggil sampah. Dalam perkataan lain, sampah adalah apa yang ‘tidak berguna’, ‘kotor’ atau ‘menyemakkan’ di mata kita. Tempat yang layak untuk sampah ialah dalam tong sampah.

Apabila kita menyampah kepada seseorang, sedar atau tidak, minda dan hati kita melabelkan orang itu sebagai ‘kotor’, ‘tak berguna atau ‘menyemak’. Apabila dia dianggap tak berguna, maka kita pun memasukkan dia dalam ‘tong sampah’ minda dan hati. semakin ramai orang atau perkara yang kita menyampah, hakikatnya kita menjadikan minda dan hati kita sebagai tong sampah besar! Andai dibiarkan minda dan hati akan ‘reput’ dan busuk sehingga menutup atau menenggelamkan perasaan positif yang lain. Sebab itu, bila kita menyampah terhadap seseorang, kita buta kepada kebaikannya dan jasanya dilupakan begitu saja!
Mengapa kita biarkan rasa ini dalam minda dan hati sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Pencipta segalanya mencipta setiap sesuatu ada sebab dan peranan tertentu. Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia!

Letakkan di tempat yang wajar
Ada pepatah yang mengatakan dirt are not dirt – only matter in the wrong place. Suatu yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak berguna’ boleh menjadi bermenafaat dan berfaedah andai di letakkan diletakkan pada tempatnya. Najis yang menjijikkan sekalipun, andai diletakkan ditanah pertanian menjadi baja menyuburkan hasil tanaman.

Dalam soal persahabatan dan perhubungan, adakalanya kita paling banyak belajar tentang hakikat kehidupan dari orang yang paling kita. Ingat lagi semasa kanak-kanak betapa menyampahnya kita apabila dileter oleh ibu dan ayah kerana melakukan kesalahan? Renung kembali denda yang dikenakan oleh guru apabila kita melakukan kesilapan di sekolah. Kenang kembali menyampahnya kita apabila mula-mula belajar mengikat tali kasut ke sekolah sehingga ada di antara kita menyerahkan tugas mengikat tali kasut kepada ibu yang selalu ‘berleter’. Adakalanya rasa menyampah melanda apabila rasa terkongkong dengan peraturan dan hukum agama. Bukankah semua itu membawa kesan baik kepada siapa kita hari ini?
Begitulah apa yang kita menyampah hari ini mungkin adalah ‘baja’ yang akan menjadikan kita manusia yang lebih baik dan lebih sabar untuk menghadapi masa depan. Setiap kali rasa menyampah, bayangkan dalam minda dan hati bagaimana orang berkenaan atau pekerjaan itu menyumbang kepada masa depan kita. Masa depan yang bukan sahaja di hari tua, malah masa depan yang lebih jauh iaitu kehidupan selepas mati... di akhirat yang kekal abadi.

Kenapa menyampah?
Renungkan siapakah orang yang kita menyampah melihatnya. Perhatikan dengan jujur, adakah orang lain juga menyampah terhadap orang ini? Renungkan juga apakah perkara-perkara yang kita menyampah melakukannya. Perhatikan dengan jujur, adakah orang lain juga menyampah terhadap pekerjaan ini? Adakah sebab yang wajar untuk kita menyampah melihatnya?

Kadang-kadang kita menyampah semata-mata kerana tidak suka caranya bercakap, tak suka dengan caranya berpakaian, tak suka dengan apa yang kita anggap sebagai gaya ‘mengada-ngada’nya. Adakah kerana dia pernah ‘merebut’ orang yang kita minati? Atau kerana dia tidak melayan kita tetapi melayan orang lain? Malah adakalanya kita tidak tahu sebab kenapa kita menyampah kepadanya. Entah-entah kita irihati dengan apa yang dimilikinya!
Berhati-hatilah kerana mungkin dia adalah orang yang dihantar oleh Allah untuk membawa banyak kebaikan dalam hidup kita. Entah-entah dialah orang yang paling mengambil berat tentang kita tetapi kita melihat dan melayannya hanya sebagai ‘sampah’ dek kerana rasa menyampah yang melulu... Ketika zaman perjuangan awal Rasulullah membawa Islam yang menjadi rahmat untuk seluruh alam, orang-orang yang sombong dan bongkak sangat menyampah melihatnya.
Berhati-hatilah apabila menyampah terhadap suatu pekerjaan kerana siapa tahu, pekerjaan itulah yang menjadi punca kejayaan hidup kita. Ketika Rasul-rasul menyeru manusia supaya meyembah Allah, ramai yang menyampah sedangkan itulah amalan yang menyelamatkan mereka dari siksaan dunia dan akhirat.

Manusia sentiasa perlu memerlukan orang lain
Tidak ada suatu pun yang dijadikan oleh Allah sia-sia.. Allah yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui bermaksud baik apabila memberikan kita sahabat, keluarga, rakan kerja, jiran dan siapa jua yang berkaitan dengan hidup kita. Sebagai makhluk, apa pun kelebihan dan kepandaian yang kita miliki, sehebat mana pun diri kita, kita tetap perlukan orang lain. Kita sebagai makhluk diciptakan tidak sempurna dan perlukan orang lain untuk melengkapkan kekurangan yang ada.
Yang sempurna dan tak perlukan apa-apa dari pihak lain hanya Allah. Manusia bolah saja dipandang ‘kotor’, ‘tak berguna’ dan ‘menyemak’ dalam pandangan Allah. Manusia sentiasa kotor dengan dosa, tak bertanggungjawab dalam menunaikan tugas khalifah dan hamba di muka bumi dan ‘menyemakkan’ muka bumi dengan segala kerenahnya, namun DIA yang Maha Agung tetap mengiktiraf manusia sebagai makhluk paling mulia. DIA tetap melimpahkan keampunan yang tak bertepi. Dia terus memberikan amanah dan kekuatan kepada manusia untuk terus menguruskan muka bumi ini. Dia terus memandang manusia dengan pandangan Ar Rahman dan Ar Rahim – kasih sayang tanpa syarat dari Tuhan yang Maha Agung untuk makhluk yang serba hina dan lemah.

Hadiahkan Doa Dengan Penuh Kasih Sayang
Seperti perasaan negatif yang lain, memang bukan mudah untuk mengikis rasa menyampah dalam sekelip mata. Bergantunglah kepada Allah. Dia pernah menciptakan kita dari tiada kepada ada. Dia juga yang menciptakan hati yang merasa dan akal yang berfikir. Maka semudah itu jugalah Dia membantu kita menangani rasa menyampah ini.

Berdoalah untuk diri sendiri supaya perasaan kita sentiasa terpelihara. Doakan juga orang yang kita menyampah dengan penuh kejujuran. Adakalanya dalam kita mendoakan orang lain pun, tanpa sedar kita masih membawa perasaan menyampah tersebut. Contohnya, kita mendoakan “Ya Allah, lembutkanlah hatinya...” secara tak sedar secara muktamad kita melihatnya sebagai seorang yang keras hati dan lupa ada kemungkinan yang keras hati sebenarnya adalah diri kita sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan doa terseut salah, tetapi sekadar untuk renungan betapa dalam doa yang paling indah pun kita masih terpenjara dalam persepsi yang negatif tentang diri orang lain. “Ya Allah, semoga dia akan berubah...” adalah doa yang baik dan indah untuk orang lain. Namun secara halus, ia menggambarkan persepsi bahawa orang yang didoakan itu perlu berubah sehingga si tukang doa mungkin terlupa bahawa dirinya lebih perlu berubah.

Berdoalah dengan penuh rendah hati, penuh kasih sayang dan kesenian, untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain. Doa yang jujur, penuh kerendahan hati dan kasih sayang akan sampai ke hati orang lain seperti gelombang radio yang terpancar melalui ruang udara ke setiap radio yang terpasang. Dengan izin Allah, akan tumbuh rasa keserasian antara hati yang terikat dengan kasih sayang kerana Allah.
Semoga dengan adanya hubungan hati melalui hadiah doa, suasana pergaulan kita akan lebih indah dan harmoni – bersih dari rasa menyampah antara satu sama lain. Apabila kita berada di persekitaran yang harmoni, apa juga pekerjaan yang kita lakukan, dapat dilakukan dengan ceria tanpa rasa menyampah.

Copy From : Penulis: Sofiyah @ Satuyah Rasin - tq

SUAMI....

DOA UTK SUAMI

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kau ampunilah dosa ku yang telah ku buat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada
terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya Allah
Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu di Arash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus
bersamanya
Sekir­anya suami ku ini adalah suami yang akan
membimbing tanganku dititianMu
Kurniakanl­ah aku sifat kasih dan redha atas segala
perbuatannya
Se­kiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di
Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan
segala perintahnya
Sekiranya­ suami ku ini adalah yang terbaik untukku di
DuniaMu
Peliharalah­ tingkah laku serta kata-kataku dari
menyakiti perasaannya

Sekiranya­...
suami ku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu maka
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah
dan ragamnya

Tetapi Ya Allah...
Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku
seorang
Kau tunjukkanlan aku jalan yang terbaik untuk aku
harungi segala dugaan Mu
Sekiranya suami ku tergoda dengan keindahan dunia Mu..
Limpahkanlah aku kesabaran
untuk terus membimbingnya..
Sekir­anya suami ku tunduk terhadap nafsu yang
melalaikan..
Kurn­iakanlah aku kekuatan Mu untuk aku memperbetulkan
keadaa­nya
Sekiranya suami ku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya
keluar dari terus terlena

Ya Allah...
Kau yang Maha Megetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan
ketelanjuranku
Sek­iranya aku tersilap membuat keputusan..
Bimbingla­h aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai
isteri..
Kau hukumlah aku didunia tetapi bukan diakhirat Mu
Sekiranya aku engkar dan derhaka Berikanlah aku
petunjuk kearah rahmat Mu

Ya Allah sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu..
Aku buta tanpa bimbinganMu..
Aku cacat tanpa hidayahMu..
Aku hina tanpa RahmatMu..

Ya Allah
Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri Soleha
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu

Ya Allah Ya Tuhanku...
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi
Isteri yang soleha
Isteri yang sentiasa dihati

Amin, amin Ya Rabbal Allamin..

Rabu, 4 Mei 2011

Zuriat

'Tuhanku, janganlah engkau tinggalkan daku seorang diri padahal engkau Tuhan yang paling baik dari segala orang yang mewarisi'..


Oleh Ustazah Siti Nor Bahyah
Melalui perkahwinan, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai menurut tuntutan Illahi, dapat memenuhi tuntutan biologi. Malah tujuan perkahwinan juga adalah untuk mendapatkan zuriat melalui ikatan sah di sisi agama dan undang-undang. Namun, tidak semua pasangan suami isteri beroleh zuriat setelah berkahwin. Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat dan ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga tua disebabkan perkara-perkara tertentu. Tetapi perlu diingat bahawa semua yang berlaku itu adalah dengan izin dan kehendak ALLAH s.w.t.
Oleh yang demikian, mereka yang beriman dan percaya dengan ketentuanNYA akan redha dengan segala apa yang terjadi terhadap diri mereka. Akan tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu akur dan berserah dengan apa yang terjadi tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki zuriat. Dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.
Pertama, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.” Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah ALLAH s.w.t. Maka baginda meyakini bahawa ALLAH berkuasa mengurniakan baginya anak. Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.



Kedua, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.” Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya.Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat. Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah ALLAH s.w.t. yang hebat ini.
Bagi ibu yang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya.

 Untuk mendapat anak yang baik dan soleh, terdapat amalan yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa anak itu sendiri, iaitu:
1. Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, ALLAH s.w.t. sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.
2. Berpuasa sunat. Khusus untuk suami, banyak berpuasa sunat atau sekurang-kurangnya semingu dua kali atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah). Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.
3. Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.
4. Banyak berdoa. Sentiasa berdoa agar ALLAH s.w.t. mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.
5. Banyak membaca al-Quran. Secara umumnya, elok membaca al-Quran dengan semua surah, tetapi di sini ustazah mengkhususkan surah-surah yang dibaca serta kesannya.
a. Surah al-Fatihah – Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan
b. Surah Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.
c. Surah Luqman – Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.
d. Surah Yusuf – Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak.
e. Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu da dan anak bersifat berhati-hati
f. Surah Yaasin – untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.
g. Surah Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.
h. Surah an-Nahl – Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.